SANGAT LOBA
ATAS MAKANAN
Adalah sangat loba atas makanan itu setengah daripada asal segala kejahatan.
Kerana perut itu tempat keluar bagi segala keinginan. Kerana daripadanya
terjadi keinginan kemaluan kemudian mengerasi oleh keinginan makanan dan
keinginan jimak. Nescaya terjadi daripadanya sangat loba kepada harta. Kerana
tiada dapat menunaikan dua keinginan itu melainkan dengan harta. Dan terjadi
daripada ingin kepada harta itu ingin kepada kemegahan. Kerana sukar
mengusahai akan harta itu melainkan dengan kemegahan. Kemudian apabila
menuntut ia akan harta dan kemegahan dan mendapat ia akan keduanya nescaya
berhimpun padanya oleh beberapa banyak daripada kebinasaan, seperti riak dan
takbur dan dengki dan berseteru dan lain daripadanya. Dan tempat keluar
semuanya itu perut. Maka kerana itu membesarkan oleh Rasullullah s.a.w. akan
pekerjaan lapar. Maka bersabda Nabi s.a.w. didalam beberapa hadis baginda–
ertinya :-
- Tiada ada pekerjaan
yang lebih kasih kepada ALLAH Taala daripada lapar dan dahaga.
- Penghulu segala pekerjaan
itu lapar.
- Berfikir itu setengah
ibadat, dan sedikit makan itu ia satu ibadat.
- Yang lebih afdal daripada
kamu pada sisi ALLAH Taala yang lebih lama kamu lapar dan berfikir dan
yang lebih dibenci daripada kamu kepada ALLAH Taala tiap2 yang banyak
makan banyak minum banyak tidur.
- Tiada memenuhkan oleh
manusia akan bejana yang lebih jahat daripada perutnya. Memada oleh
manusia akan beberapa suap yang membetulkan akan tulang belakangnya.
Menyebut akan segala hadis ini Al-Imam Al-Ghazali didalam kitab Al-Arbai’n
Fiaswal Addin.
Dan ketahui olehmu bahawasanya bagi lapar itu beberapa faedah. Setengah
daripadanya nipis hati hingga mendapat ia akan sedap mengerjakan ibadat. Dan
setengah daripadanya cerdik hati kerana kenyang itu menyebabkan bodoh dan
setengah daripadanya memecahkan keinginan mengerjakan maksiat dan mengerasi
atas nafas yang sangat menyuruh dengan kejahatan. Dan setengah daripadanya
ringan tubuh bagi sembahyang tahajjud dan mengerjakan ibadat. Dan hilang
mengantuk yang menegah ia daripada ibadat dan setengah daripadanya memada
dengan sedikit harta dunia. Adapun kenyang itu maka ada padanya beberapa
kebinasaan.
- Ketiadaan sedap
mengerjakan ibadat.
- Menambah keinginan nafsu.
- Ketiadaan kasihan kepada
yang miskin, kerana apabila ia kenyang nescaya menyangka ia akan sekelian
manusia semuanya kenyang bersalahan lapar. Maka ia sebab bagi kasihan
belas akan orang miskin. Dan inilah setengah daripada hikmah wajib puasa.
- Lemah daripada mengingat
akan ilmu yang memberi manfaat.
- Bahawasanya orang yang
sempurna iman itu pergi datang ia kepada masjid. Dan orang yang banyak
kenyang itu lagi datang ia kepada jamban.
Maka jika engkau berkata : sungguhnya telah jadi kenyang itu ibadah bagiku
maka betapa aku meninggalkan dia? Maka dijawab bahawasanya yang demikian itu
mudah atas mereka yang menghendaki akan dia dengan diansur2. Dan iaitu bahawa
mengurangi engkau pada tiap-tiap hari daripada makanan engkau yang biasa kadar
sesuap hingga mengurangi engkau akan sepinggan didalam sebulan. Maka tiada
nyata bekas mengurangkan itu pada diri engkau dan jadilah mensedikitkan itu
adat engkau.
Dan ketahui olehmu bahawasanya mensedikitkan makan itu 3 pangkat iaitu:-
- Al-Siddiqin iaitu
menyimpankan atas kadar yang memelihara badannya daripada binasa. Dan iaitu
kadar yang ditakuti dengan sebab kurang daripadanya akan binasa akal atau
mensebabkan mati.
- Bahawa terpada ia dengan
setengah cupak tiap2 hari. Dan iaitu memenuhi sepertiga perut. Dan atas
yang demikian itu memperbuat oleh Saidina Umar r.a. dan jemaah daripada
sahabat kerana adalah makanan mereka itu segantang syair
(syien-a’in-ya-rho) pada tiap-tiap tujuh hari. Yang ketika bahawa memadakan
secupak tiap2 hari. Dan apabila melebihi akan yang demikian itu maka ia
bersekutu akan orang kebanyakan dan masuk didalam membanyakkan makan.
Adapun mensedikitkan makan dengan ditilik kepada masa maka iaitu 3 pangkat
jua, iaitu:-
- Yang lebih
tingginya bahawa lapar ia tiga hari atau lebih. Ertinya tiap2 tiga hari
atau lebih sekali makan. Maka sesungguhnya adalah Saidina Abu Bakar r.a.
lapar ia enam hari.
- Dan adapun yang
pertengahan bahawa makan ia pada tiap-tiap dua hari.
- Dan yang lebih rendah
bahawa makan ia tiap-tiap hari sekali.
Adapun mereka yang makan dua kali pada
tiap-tiap hari maka tiada ada baginya
kelakuan lapar sama sekali. Dan adalah dia meninggalkan kelebihan lapar.
*LOBA = kuat makan; pelahap
atas makanan; suka makan; nafsu makan yang kuat; asyik nak makan; sangat
bernafsu atas makanan; mencintai dalam perkara makan dan segala yang
menyebabkan kepada cinta dan suka atas perkara makan (yanng membawa kepada
kekenyangan perut)