Reda dengan ketentuan Allah dan
buatlah kebajikan
Reda bermaksud
menyerahkan diri sepenuhnya kepada ketentuan Allah, menerima takdir-Nya
tanpa perasaan gelisah dan keluh kesah. Reda juga ialah pasrah kepada
kekuasaan Allah semata-mata.
Jesteru itu
rebutlah sebanyak-banyak peluang mengerjakan amalan yang harus dengan niat
membantu ibadah dan mencari keredaan Allah. Ambillah pengajaran daripada hadis
Nabi Muhammad s.a.w, bermaksud: "Tiada pahala bagi sesiapa yang tidak
membuat perkiraan kepada-Nya".
Rasulullah telah
bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencatatkan segala
kebajikan dan kejahatan (kemudian) Dia menyatakan yang demikian di dalam
kitab-Nya maka sesiapa bercita-cita (berniat) akan melakukan sesuatu kebaikan
(tetapi) tidak dilakukannya, nescaya dicatatkan baginya satu kebajikan yang
sempurna dan jika dia bercita-cita mengerjakan kebajikan dan terus melakukannya
nescaya dicatatkan baginya 10 kebajikan yang digandakan sampai 700 kali ganda,
malah sampai banyak kali pergandaan pahalanya (tiada terhingga menurut imbangan
suci dan ikhlas hatinya). Sebaliknya sesiapa bercita-cita (berazam) mengerjakan
sesuatu kejahatan tetapi tidak dilakukannya (iaitu ditinggalkannya kerana
mencari keredaan Allah) nescaya dicatatkan Allah baginya satu kebajikan yang
sempurna dan jika dia bercita-cita jahat lalu dilakukanya kejahatan itu maka
dicatatkan baginya satu kejahatan sahaja".
Abu Hurairah
menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa
bercita-cita melakukan kebaikan sedang dia belum mengerjakannya dicatatkan
baginya satu kebajikan dan sesiapa bercita-cita melakukan kebaikan lalu
mengerjakannya dicatat baginya 10 kali ganda hingga 700 pergandaan dan sesiapa
bercita-cita melakukan kejahatan sedangkan dia belum mengerjakannya maka belum
dicatat ke atasnya dan jika dia mengerjakannya dicatatlah kejahatan itu (dengan
satu kejahatan sahaja)”.
Allah memberikan
pergandaan pahala kepada orang yang ikhlas dan pelbagai tingkatan berdasarkan
pengetahuan-Nya Yang maha Luas mengenai gerakan hati hamba-Nya dan mendorong
mereka melakukan amalan itu.