| AMINAH ASSILMI | |||
Pengenalan Dan Keputusan
Saya
bertemu dengan orang Islam buat pertama kalinya semasa sedang menghabiskan
ijazah di dalam bidang Rekreasi. Saya membuat pra-pendaftaran subjek untuk
semester tersebut dan pergi ke Oklahoma untuk mengendalikan urusan keluarga.
Urusan tersebut menyebabkan saya lewat hampir dua minggu dan oleh yang
demikian, tidak dapat lagi membuang mana-mana subjek.
Walaupun
lewat, saya tidaklah risaukan pelajaran yang terlepas kerana saya adalah
pelajar terbaik di dalam bidang berkenaan. Saya telah memenangi berbagai
'award' walaupun hanya seorang pelajar dan mampu bersaing dengan para
professional.
Seperkara
yang anda harus faham, walaupun saya belajar dan cemerlang di kolej,
menjalankan perniagaan sendiri dan mempunyai ramai teman rapat, saya adalah
seorang yang amat pemalu. Saya lambat untuk mengenali seseorang dan jarang
bercakap kecuali jika terpaksa, atau kerana sudah mengenali orang tersebut.
Saya hanya merasa selesa di kalangan kanak-kanak.
Kembali
kepada cerita saya. Cetakan komputer pendaftaran semester tersebut menyebabkan
saya amat terperanjat. Saya telah didaftarkan untuk kelas Teater.. sebuah
kelas di mana saya dikehendaki membuat persembahan di hadapan orang ramai!.
Saya tidak mampu walau untuk bertanyakan soalan di dalam kelas, apatah lagi
untuk naik ke atas pentas di hadapan orang ramai? Suami saya, seperti biasa
dengan sikap tenangnya menyarankan supaya saya menerangkan masalah kepada guru
berkenaan dan akhirnya beliau bersetuju mencari jalan untuk membantu. Maka
saya pun pergi ke kelas pada Selasa berikutnya..
Apabila
hendak memasuki kelas, saya mendapat 'kejutan' yang kedua. Kelas tersebut
penuh dengan orang-orang Arab dan "penunggang unta". Saya tidak
pernah berjumpa mereka tapi pernah mendengar tentangnya.
Tidak
mungkin saya akan duduk sekelas dengan 'kafir-kafir kotor' ini! Manalah tahu,
mungkin saya akan dijangkiti penyakit daripada mereka. Semua orang tahu mereka
itu kotor dan tidak boleh dipercayai. Saya lantas menutup pintu dan pulang ke
rumah. (Ada satu perkara yang perlu anda tahu. Pada masa itu saya memakai
skirt pendek kulit, baju singkat dan terdapat segelas wain di tangan
saya...tapi merekalah yang dianggap jahat dalam fikiran saya).
Apabila
saya memberitahu suami saya tentang orang-orang Arab di dalam kelas dan tidak
mungkin saya kembali ke kelas, suami saya dengan tenangnya mengingatkan bahawa
Tuhan mempunyai sebab untuk segalanya dan mungkin saya patut mengambil masa
berfikir sebelum membuat keputusan. Dia juga mengingatkan yang saya tentang
tajaan biasiswa yang membayar tuisyen saya dan saya perlu mengekalkan G.P.A
saya atau memusnahkan segala peluang saya.
Saya
berdoa untuk petunjuk selama dua hari. Saya kembali ke kelas pada hari Khamis
dengan keyakinan bahawa Tuhan meletakkan saya di situ untuk menyelamatkan orang-orang Kafir bodoh itu daripada api neraka.
Saya
terus menerangkan kepada mereka bahawa mereka akan dibakar api neraka buat
selama-selamanya sekiranya tidak menerima Jesus sebagai penyelamat. Mereka
mendengar dengan sopan, tetapi tidak menukar pegangan. Saya terus mencuba
untuk mengubah pegangan mereka tetapi tidak berjaya. Jadi saya mengambil
keputusan membaca sendiri buku mereka untuk membuktikan bahawa Islam adalah
agama palsu dan Mohammed adalah tuhan palsu.
Salah
seorang pelajar di situ memberikan saya sesalinan Quran dan buku mengenai
Islam, dan saya pun memulakan kajian. Saya pasti bahawa saya akan menemui
bukti hujah saya dengan cepat. Saya membaca Quran dan buku tersebut dan 15
lagi buah buku, Sahih Muslim, dan kembali kepada Quran. Saya begitu
bersungguh-sungguh untuk menukar agama mereka. Kajian tersebut berlanjutan
sehingga satu setengah tahun.
Dalam
masa tersebut, saya mula menghadapi masalah dengan suami saya. Saya makin
berubah, walaupun sedikit tetapi cukup untuk mengganggunya. Kami selalu pergi
ke bar setiap Jumaat dan Sabut, atau ke parti, tetapi saya tidak lagi ingin ke
sana. Saya menjadi semakin pendiam dan dingin. Dia yakin saya ada hubungan
dengan orang lain dan menghalau saya keluar. Saya berpindah ke sebuah apartmen
dengan anak-anak dan meneruskan usaha dengan bersungguh-sungguh untuk menukar
agama para Muslim tersebut ke Kristian.
Pada
suatu hari, seseorang mengetuk pintu rumah saya. Apabila dibuka saya mendapati
terdapat seorang lelaki yang memakai baju tidur panjang berwarna putih dengan
alas meja berkotak warna merah putih di atas kepalanya. Dia ditemani tiga lagi
lelaki yang juga memakai pajama. (Itulah kali pertama saya melihat mereka
memakai baju kebangsaan mereka). Saya mulanya merasa agak marah kerana mereka
hanya datang dengan pakaian tidur. Mereka fikirkan saya ini wanita jenis apa?
Tidakkah mereka ada rasa malu dan harga diri? Bayangkan betapa terperanjatnya
saya apabila si lelaki yang memakai alas meja di kepala itu mengatakan bahawa
mereka difahamkan yang saya ingin menjadi seorang Muslim. Saya dengan pantas
menjawab yang saya tidak mahu menjadi Muslim. Saya adalah seorang Kristian. Walaubagaimanapun, saya ada beberapa kemusykilan. Itupun kalau mereka
ada masa....
Namanya
ialah Abdul Aziz Al-Shiek dan dia sudi meluangkan masanya. Dia sangat sabar
dan membincangkan setiap soalan bersama saya. Dia tidak pernah membuat saya
rasa bodoh atau mengatakan soalan saya itu remeh. Dia bertanya adakah saya
percaya bahawa Tuhan hanya satu dan saya berkata ya. Kemudian adakah saya percaya bahawa Mohammad itu PesuruhNya?. Lagi
sekali saya mengatakan ya. Dia memberitahu saya bahawa saya sudahpun menjadi
Muslim!
Saya tetap bertegas bahawa saya adalah Kristian. Saya hanya mencuba memahami Islam. (Dalam hati saya berfikir : Tidak mungkin saya seorang Muslim! Saya adalah orang Amerika dan berbangsa kulit putih! Apa suami saya akan kata? Jika saya Muslim, saya harus menceraikan suami saya. Matilah keluarga saya!). Kami
meneruskan perbualan. Dia kemudiannya menerangkan yang untuk mencapai
pengetahuan dan pemahaman rohani adalah seperti mendaki tangga. Jika kita
mendaki dan cuba "skip" beberapa anak tangga, maka kita dalam
keadaan bahaya dan berkemungkinan jatuh. Mengucap Shahadah adalah hanya
langkah pertama pada tangga tersebut. Kami ada banyak lagi yang perlu
dibualkan.
Pada
petang tersebut, saya mengucap Shahadah. Walaubagaimanapun ada beberapa
perkara yang masih belum dapat saya terima dan memang sifat semulajadi saya
untuk berterus-terang lalu saya meletakkan "disclaimer" pada
Shahadah saya. Saya berkata " Saya naik saksi bahawa tiada Tuhan selain
Allah dan Mohammad adalah PesuruhNya tetapi, saya tidak sesekali akan menutup
rambut saya dan jika suami saya kahwin lain, saya akan "castrate"
(kasi) dia".
Saya
mendengar lain-lain lelaki di situ menarik nafas terkejut, tetapi Abdul Aziz
menyuruh mereka diam. Kemudiannya saya dapat tahu dia memberitahu
rakan-rakanya jangan sesekali membincangkan dua perkara itu dengan saya. Dia
yakin saya sendiri akan faham tentang perkara tersebut.
Shahadah
sememangnya langkah paling mantap dalam tangga mencapai pengetahuan rohani dan
mendekatkan diri kepada Allah tetapi pendakian saya agak perlahan. Abdul Aziz
berterusan datang menziarahi saya dan menjawab soalan-soalan saya. Dia tidak
pernah mencela saya atas soalan-soalan yang mungkin dianggap bodoh atau remeh.
Dia memberitahu saya soalan yang bodoh ialah soalan yang tidak pernah ditanya.
Hmm... nenek saya juga selalu berkata begitu. Dia menerangkan bahawa Allah
menyuruh kita mencari ilmu dan bertanya adalah salah satu cara untuk
mendapatkannya.
Pada
tahun-tahun seterusnya, saya telah mendapat ramai guru. Setiap satunya adalah
istimewa dan berlainan antara satu sama lain. Setiap guru telah membantu saya
mencintai Islam. Apabila pengetahuan saya bertambah, perubahan pada diri saya
makin bertambah. Pada tahun pertama saya memeluk Islam, saya telahpun memakai
hijab. Saya tidak tahu bagaimana ianya bermula. Segalanya datang dengan
semulajadi, dengan pemahaman dan pengetahuan yang kian bertambah. Saya juga
menjadi penyokong kepada poligami. Saya tahu yang sekiranya Allah
membenarkannya, maka tentu ada sesuatu yang baik di sebaliknya.
Semasa
saya mula mempelajari Islam, saya tidak menyangka saya akan berjumpa sesuatu
yang saya perlu atau mahu dalam kehidupan peribadi saya. Saya sama sekali
tidak menyangka Islam akan merubah hidup saya. Tiada manusia yang boleh
menyakinkan saya bahawa pada satu hari saya akhirnya akan berasa tenang dan
hidup penuh cinta dan keriangan semata-mata kerana Islam.
Bagaimana Islam mengubah cara hidup saya
"Kita
akan lebih menghargai cahaya..sekiranya kita pernah hidup dalam
kegelapan"
Semasa saya mula memeluk Islam, saya tidak menyangka ianya akan memberi kesan kepada hidup saya. Islam tidak hanya membawa kesan, bahkan ia mengubah kehidupan saya sepenuhnya. Kehidupan
berkeluarga : Saya dan suami saya amat mencintai satu sama lain. Cinta itu
masih wujud. Tetapi apabila saya mula mempelajari Islam, kami mula menghadapi
masalah. Pada masa itu saya tidak sedar yang saya sedang berubah. Dia
menganggap sesatunya perkara yang menyebabkan saya berubah ialah lelaki lain.
Saya tidak dapat membuatkan dia faham apa yang telah merubah saya kerana saya
sendiri tidak tahu.
Setelah
saya sedar yang saya adalah seorang Muslim, ianya masih tidak membantu.
Lagipun... sesatunya sebab yang boleh membuat seseorang wanita mengubah
sesuatu yang penting seperti agamanya mestilah kerana seorang lelaki. Dia
tidak menjumpai sebarang bukti berkenaan lelaki khayalan ini...tetapi ianya
dianggap pasti wujud. Perkahwinan kami berakhir dengan perceraian yang buruk.
Mahkamah membuat keputusan bahawa agama yang bukan ortodoks (seperti Islam)
akan mencacatkan perkembangan anak-anak kami. Maka mereka telah diambil dari
jagaan saya.
Semasa
proses perceraian, ada suatu ketika di mana saya diberitahu yang saya
mempunyai pilihan. Saya boleh meninggalkan agama ini dan kekal dengan anak
saya, atau meninggalkan anak saya dan kekal dengan agama ini. Saya sungguh
terkejut. Bagi saya ini bukanlah pilihan. Sekiranya saya meninggalkan Islam,
saya akan mengajar anak saya untuk bersikap berpura-pura....kerana saya tidak
dapat menyangkal apa yang ada di dalam hati saya. Saya tidak dapat
meninggalkan Allah, buat masa itu mahupun selama-lamaya. Saya berdoa dengan
sesungguh hati. Selepas tempoh masa 30 minit itu berakhir, saya tahu bahawa..
tiada tempat yang paling selamat bagi anak-anak saya melainkan di bawah
lindungan Allah. Sekiranya saya meninggalkanNya, maka pada masa hadapan
hilanglah jalan untuk saya menunjukkan kepada anak-anak saya keajaiban bersama
Allah. Mahkamah diberitahu yang saya akan meninggalkan anak-anak saya di dalam
tangan Allah. Jadi ini bukanlah bermakna saya telah menolak anak-anak saya.
Saya
meninggalkan mahkamah dengan kesedaran yang saya akan menderita tanpa
anak-anak saya. Hati saya berdarah, walaupun saya tahu saya telah membuat
keputusan yang betul. Saya mendapat kedamaian di dalam Ayat-Ul-Kursi.
Hak
penjagaan anak dan perceraian bukanlah sesatunya masalah yang terpaksa saya
hadapi. Kesemua keluarga saya tidak dapat menerima pilihan saya. Kebanyakan
daripada mereka tidak mahu langsung mengambil tahu lagi hal saya. Ibu saya
menganggap saya sedang melalui satu fasa ("phase") dan lambat laun
akan keluar daripadanya. Kakak saya "pakar kesihatan mental" percaya
saya telah gila dan patut disumbat ke hospital gila. Bapa saya menganggap saya
patut dibunuh sebelum saya jatuh lebih jauh ke dalam Neraka. Tiba-tiba saya
mendapati diri saya tanpa suami dan keluarga. Apa pula lagi yang akan saya
hadapi selepas ini?
Sahabat-handai
: Kebanyakan sahabat-handai saya menjauhkan diri dari semasa tahun pertama
lagi. Sudah tidak seronok bergaul dengan saya. Saya tidak mahu ke parti atau
bar. Saya tidak berminat mencari teman lelaki. Apa yang saya buat hanya
membaca Quran dan bercakap tentang Islam. Sungguh membosankan. Pada masa itu
saya masih belum mempunyai pengetahuan yang cukup untuk memahamkan mereka
betapa indahnya Islam.
Pekerjaan
: Saya juga kehilangan pekerjaan. Walaupun saya telah memenangi pelbagai
anugerah dalam bidang saya dan diiktiraf sebagai "trend setter" dan
mampu menghasilkan wang, hari saya memakai hijab adalah hari akhir bagi
pekerjaan saya. Saya sekarang tidak mempunyai keluarga, kawan mahupun
pekerjaan.
Dalam
semua keadaan ini, cahaya di dalam hidup saya ialah nenek. Dia sukakan pilihan
saya dan menyertai saya. Saya tahu nenek saya memang seorang yang amat
bijaksana. Sejurus selepas itu beliau meninggal dunia. Apabila saya fikirkan
kembali, saya hampir merasa cemburu. Pada hari beliau mengucapkan Shahadah,
kesemua amalan buruknya terhapus manakala amalan baiknya dipelihara. Beliau
meninggal tidak berapa lama selepas memeluk Islam dan saya tahu BUKUnya akan
berat di sebelah kebaikan. Itu sudah cukup menggembirakan saya.
Apabila
pengetahuan saya semakin bertambah dan saya dapat menjawab soalan-soalan
dengan lebih baik, banyak perkara berubah. Tetapi impak paling besar ialah
perubahan pada diri saya. Beberapa tahun selepas saya mengisytiharkan
keislaman saya pada umum, ibu saya menelefon dan mengatakan dia tidak tahu
mengenai Islam tetapi dia berharap saya akan kekal dengannya. Dis sukakan
perubahan pada diri saya. Beberapa tahun kemudian dia menelefon lagi dan
bertanya apa yang perlu dia lakukan untuk menjadi seorang Muslim. Saya
memberitahunya apa yang perlu dibuat ialah mengetahui yang hanya ada satu
Tuhan dan Muhammad ialah pesuruhNya. Jawapan yang diberikannya "Orang
bodoh pun tahu itu..tapi apa yang perlu dibuat sebenarnya?" Saya
mengulang kembali apa yang telah saya katakan dan dia berkata :"OK..tapi
tak perlulah beritahu ayah lagi".
Dia
tidak tahu yang ayah saya telah berbual perkara yang sama beberapa minggu
sebelum itu. Bapa kandung saya pula telah melakukannya dua bulan sebelumnya.
Kemudian, kakak saya (si pakar mental) itu memberitahu yang saya adalah orang
yang paling 'bebas' yang dia pernah kenali. Itulah pujian paling bermakna yang
saya terima kerana ianya datang daripada dia.
Ramai
lagi anggota keluarga saya yang telah menemui Islam saban tahun. Saya paling
gembira apabila mendengar berita bahawa bekas suami saya juga telah memeluk
Islam. Apabila ditanya mengapa, dia berkata yang dia telah memerhatikan saya
selama 16 tahun dan dia mahukan anak perempuannya mendapat apa yang saya ada. Dia datang dan memohon maaf atas
perbuatannya yang lalu. Saya telah lama memaafkannya. Anak lelaki sulung saya
juga telah mengumumkan bahawa dia akan memeluk Islam.
Saya
telah dikenali kerana ceramah-ceramah yang saya berikan mengenai Islam, dan
ramai pendengar yang telah memilih untuk menjadi Muslim. Ketenangan dalam jiwa
saya terus bertambah dengan pengetahuan dan keyakinan saya terhadap
kebijaksanaan Allah. Saya tahu Allah bukan sahaja Pencipta kita, tetapi juga
sahabat yang paling akrab. Saya tahu Allah akan sentiasa berada di sisi saya
dan tak akan menolak kita. Bagi setiap satu langkah saya kepadaNya, Dia datang
dengan 10.
Allah
juga telah menguji saya, dan sebagaimana yang dijanjikan, memberikan anugerah
lebih daripada apa yang saya harapkan. Beberapa tahun lalu, doktor memberitahu
yang saya menghidap kanser di peringkat serius. Mereka mengatakan tiada lagi
penawar kerana ia terlalu 'advanced' dan menyiapsediakan saya untuk menghadapi
kematian. Saya mungkin hanya ada satu tahun untuk hidup. Saya risaukan
anak-anak saya, terutamanya yang paling kecil. Siapa yang akan menjaganya?
Walaubagaimanapun saya tidak bersedih. Kita semua akan mati. Saya yakin
kesakitan yang saya tanggung ini mengandungi hikmahNya.
Saya
tidak mengambil masa yang lama untuk menyedari akan RahmatNya. Sahabat-handai
tiba-tiba hadir entah dari mana. Saya dikurniakan kesempatan menunaikan Haji.
Yang lebih pentingnya, saya belajar betapa pentingnya bagi saya berkongsi
kebenaran Islam dengan semua orang. Saya tidak kisah samada manusia, Muslim
atau tidak, bersetuju atau sukakan saya. Saya hanya perlukan keredhaan Allah.
Kasih-sayang yang saya mahukan hanya dari Allah. Tetapi, saya mendapati orang
ramai, yang tanpa sebarang sebab yang nyata, telah menyayangi saya. Saya
bersyukur, kerana saya pernah membaca, sekiranya Allah menyayangi seseorang,
Dia akan membuatkan manusia juga mencintai orang itu. Saya tidak layak
menerima semua kasih sayang itu. Pastinya ini adalah salah satu hadiah lagi
daripada Allah.
Tiada
kata untuk saya menerangkan bagaimana berubahnya hidup saya. Alhamdulillah!
Saya amat gembira saya adalah seorang Muslim. Islam adalah hidup saya. Islam
adalah denyutan jantung saya. Islam adalah darah yang mengalir dalam diri
saya. Islam adalah kekuatan saya. Islam menjadikan hidup saya indah dan
gemilang. Tanpa Islam, saya tiada apa dan sekiranya Allah berpaling dari saya,
saya tidak akan hidup.
|
|||
No Copyright:Any organisation or individual wishing to reprint or copy the contents of this website may do so as long as the information is kept in its original form, names of all authors and sources are kept intact and articles are used for non-malicious purposes. An acknowledgement to this site (daawah.com) would be appreciated. |
|||