| |
IBADAT
HAJI DAN UMRAH
PENGENALAN | RINGKASAN
HAJI | WAJIB
HAJI | ADAB-ADAB
SEBELUM MENUNAIKAN HAJI | FALSAFAH
HAJI | HAJI
MABRUR DAN PENCAPAIANNYA | AMALAN
KURAFAT DAN SIFAT-SIFAT TERCELA | HIKMAH HAJI | SEJARAH
HAJI | PANDUAN
MENJUMPAI BARANG CICIR | Pengalaman Fauziah
Pengalaman Di Mekah
Pengakuan Fauziah Ahmad Daud
: Bagaimana Saya Boleh Berubah!
Selalunya selepas qiyamullail
dan sembahyang sunat witir, apabila orang semua balik, saya akan mencari
tempat di hadapan pintu Kaabah untuk mengerjakan sembahyang sunat taubat,
sembahyang sunat hajat dan sembahyang sunat tasbih. Setelah selesai, saya akan
buat tawaf sunat dan sembahyang sunat tawaf sendirian. Kemudian saya berdoa,
Begitulah kebiasaannya. Saya selalu balik lewat ke hotel.
Pada suatu malam, sewaktu mengerjakan sembahyang sunat, saya menangis dan
menangis. Saya teringat selama ini saya lalai, dan telah menzalimi diri saya
sendiri. Saya terus memohon dan memohan keampunan daripada Allah. Saya tidak
putus asa memohon.
Sebenarnya sudah lama saya memohon petunjuk dan hidayah daripada Allah.
Biasanya selepas merakamkan Melodi dan melaser orang, saya akan balik ke rumah
memohon ampun daripada Allah atas apa yang saya lakukan.
Mengacarakan Melodi adalah kerja saya. Tetapi saya berpegang kuat bahawa tiada
Tuhan lain bagi saya melainkan Allah. Itulah sebabnya saya bermohon sangat
supaya saya diberikan hidayah dan petunjuk.
Saya banyak melakukan sembahyang sunat taubat dan sembahyang tahajud, hampir
setiap malam, sebelum pergi membuat umrah. Saya memohon kepada Allah supaya
saya diizinkan untuk beribadah. Saya juga memohon supaya perjalanan saya di
sana dipermudahkan.
Alhamdulillah, apa yang saya mohon semuanya dikabulkan. Tawaf saya
dipermudahkan, dan di tempat-iempat dimana doa dikira mustajab, saya diberikan
kesempatan untuk beribadah.
Saya tidak putus-putus berdoa, memohon petunjuk dan hidayah Allah. Di
Malaysia, di Madinah, di Masjid Nabawi, di makam Rasulullah, sehinggalah di
hadapan Kaabah. Alhamdulillah, doa saya dikabulkan.
Sewaktu di sana juga saya menerima banyak dugaan. Ada orang melemparkan
kata-kata yang amat kesat kepada saya. Di tanah suci Mekah, di hadapan
jamaah-jamaah yang lain. Tetapi alhamdulillah, saya boleh tersenyum. Kemudian
ada seorang di kalangan jamaah itu memberitahu saya, "Ogy, kalau Allah
ingin mengangkat martabat seseorang, memang inilah yang harus dilalui."
Saya kata, alhamdulillah, saya mampu kontrol diri, dan saya boleh jaga mulut
saya. Saya senyum, dan saya minta maaf pada orang itu, walaupun saya tidak
buat apa-apa kesalahan pada dia. Tiba-tiba saya terfikir, oh barangkali saya
pernah laser orang sewaktu mengendalikan Melodi.
Sebenarnya saya telah bersiap sedia untuk menghadapi ujian Allah. Semakin kita
mendekatkan diri kepada Allah semakin banyak dan berat ujian yang perlu kita
hadapi. Apa yang saya lalui ini umpama nyamuk sahaja. Rasulullah lebih teruk
diuji. Saya kadang-kadang terfikir, bagaimanalah Rasulullah menghadapi ujian
yang lebih besar! Oleh itu saya mesti kuatkan hati saya. Semakin saya diuji
semakin saya sujud pada Dia.
Pernah pada suatu hari di sana, ketika menunaikan solat Maghrib, saya terasa
seperti hendak pitam. Selepas solat saya begegas balik ke hotel untuk berbuka
puasa. Badan terasa seram sejuk, macam nak demam. Saya berkata pada diri saya,
"Ini semua dugaan". Kemudian saya mandi dan ambil wuduk. Selepas itu
saya bermohon pada Allah, "Ya Allah, janganlah buat aku sakit. Aku rindu
sangat nak tengok Kaabah-Mu." Tidak sampai lima minit selepas itu badan
saya pun pulih, sehinggakan kawan-kawan sebilik dengan saya berkata,
"Ogy, tempat ni memang tempat miracle ya?" Saya kata, "Ya,
sebab di sini kita terlalu dekat dengan Dia. Kita dapat direct access dengan
Dia." Sewaktu di sana saya memang rasa terlalu dekat dengan Allah.
Pengalaman paling mengharukan saya, yang tidak mungkin saya lupakan ialah,
pada suatu malam saya terlewat pergi untuk mengerjakan qiyamullail. Sebaik
sahaja saya sampai di Masjidil Haram, saya jadi tepaku menyaksikan di sekitar
Kaabah. Berjuta orang sujud serentak apabila imam melaungkan "Allahu
akbar." Manusia daripada pelbagai lapisan semuanya sujud pada Allah.
Saya berkata dalam hati, "Ya Allah, semua orang tak kira siapa, sujud
pada Engkau," dan saya menangis. Saya memang kuat menangis. Saya tak
dapat kontrol diri. Saya terus menangis. Saya tidak pernah mengalami perkara
macam ini.
Pada satu ketika yang lain, saya melihat ribuan orang bergegas masuk ke
Masjidil Haram untuk beribadah. Saya termenung dan berkata pada diri saya,
"Agaknya beginilah bila kita semua berhadapan dengan Dia. Semua orang
berusaha menyelamatkan diri masing-masing." Timbul kesedaran dan
keinsafan dalam diri saya, satu persatu.
Dan pada suatu hari, dalam bulan Ramadhan, saya tak ingat malam ke berapa,
sedang saya memohon sambil menangis-nangis di hadapan pintu Kaabah, saya
terdengar satu bisikan yang jelas di telinga kanan saya. Bisikan yang bergema.
Saya jadi takut. Suara bisikan itu suara seorang lelaki. Saya dengar dia
berkata,
"Sekarang sudah tiba masanya kamu menutup aurat dan tinggalkan bidang
ini." Mendengar bisikan itu saya terus mengeluarkan kata-kata, "Aku
redha ya Allah, aku rela," dan saya berjanji tidak akan berpatah ke
belakang lagi. Selepas itu saya menangis dan sujud syukur. Begitu lama saya
sujud sehingga orang ingat saya pengsan. Mereka goyang-goyangkan tubuh saya.
Allah sayang saya. Allah juga sayang semua hambaNya. Allah maha pengasih, maha
penyayang. Apa lagi yang saya hendak? Di situlah terdetik di hati saya untuk
menutup aurat. Saya juga bertekad untuk meninggalkan dunia yang saya ceburi
selama ini.
Saya memang tak sangka perkara ini boleh berlaku. Selama ini saya cuma baca di
majalah-majalah mengenai keajaiban yang belaku di sana. Maklum sahajalah saya
ni artis. Jadi saya tak sangka perkara ini boleh berlaku pada saya. Walaupun
sejak kecil lagi saya memang telah diterapkan dengan kalimah La-ilaha-illallah
Muhammadun rasulullah, tetapi kadang-kadang saya lalai juga. Balik shooting
pukul tiga empat pagi, penat, syaitan pula hasut macam-macam.
Saya telah berkecimpung dalam dunia hiburan sejak berumur 11 tahun. Sehingga
kini sudah 26 tahun. Umur saya sekarang sudah 37. Award apa lagi yang saya
hendak, semua-nya sudah diperolehi. Nak popular macam mana lagi? Satu Malaya
dah kenal. Bahkan sampai ke Indonesia. Saya tidak kesal meninggalkan semua
ini.
Kemudian saya terfikir, barangkali Allah tidak menilai hambaNya melalui
penampilan, tetapi melihat pada hati kita.
Selepas peristiwa itu saya mulai mengalami ketenangan jiwa dan rohani yang
belum pernah saya alami seperti itu. Hati saya berkata, "Inilah yang saya
cari selama ini, ketenangan rohani." Saya tidak pernah mengalami
ketenangan seperti yang saya alami sekarang. Selama ini jiwa saya berkecamuk.
Bila kena gosip sikit saya melenting, dan hati saya meronta-ronta bila orang
berkata tentang saya.
Sekarang saya bersyukur, alhamdulillah, saya rasa inilah petunjuk dari Allah,
yang telah mengkabulkan doa-doa saya selama ini. Sekarang saya kena sayang
Allah lebih lagi. Dia telah memberikan saya satu nikmat yang belum pernah saya
rasai sebelum ini.
Dulu saya pernah membaca dalam buku-buku... Saya gemar membaca buku-buku
agama. Saya baca mengenai kisah wali-wali dan juga sejarah nabi-nabi. Dulu
saya tidak faham bila mereka mengatakan mereka jatuh cinta pada Allah, dan
mabuk kepayang pada Allah, sanggup tinggalkan dunia semata-mata kerana ingin
bersama Allah. Tetapi apabila saya dapat nikmat ini, dapat melihat
keindahannya, barulah saya faham, oh ini rupanya! Sekarang apabila saya
mengerjakan solat, saya berasa lain. Apabila ruku' atau sujud, saya berasa
begitu dekat dengan Allah. Saya selalu menangis. Hati saya akan berkata
"aku sayang pada-Mu Ya Allah", terutama apabila saya teringat selama
ini masyarakat memandang saya begitu dan begini, tetapi Allah tidak. Allah
tahu isi hati saya. Inilah yang saya cari selama ini. Saya harap Tuhan tidak
menarik balik nikmat yang telah diberikan Nya kepada saya ini.
Sebelum saya pergi buat umrah dahulu saya kerap bermimpi saya memakai
telekung. Saya tidak tahu apa alamatnya, Saya takut nak bertanya pada orang
lain mengenai perkara itu. Saya diamkan sahaja. Tetapi setelah perkara ini
berlaku, saya berkata pada diri saya, "Barangkali inilah dia alamat
mimpi-mimpi itu." Berkat kesabaran saya serta didikan guru-guru saya
seperti Ustaz Mokhtaruddin, Ustaz Abdul Hakim dan juga doa-doa daripada ibu
bapa, Kak Mimah, dan suami saya, serta keyakinan saya bahawa orang yang sabar
akan menang, saya kira inilah dia anugerah daripada Tuhan untuk saya.
Sekarang saya rasa happy sangat. Tak pernah saya rasa macam ni. Saya berdoa
pada Allah, janganlah ditarik balik semua ini. Saya suka cara saya macam ni,
berjubah, menutup aurat, dan tak pakai mekap. Yang penting saya tahu Dia
sayang saya, dan Dia hanya menduga orang yang Dia sayang dan juga orang yang
Dia beri perhatian.
Bukan mudah untuk menjadi seperti sekarang. Saya telah melalui pelbagai dugaan
dan terpaksa bersabar. Bukan baru-baru ini sahaja, bahkan sejak beberapa tahun
yang lalu. Sejak empat hingga lima tahun yang lalu. Saya melaluinya tahap demi
tahap. Terutama sejak dua tahun yang lalu. Dua tahun yang lalu saya belajar
mengecap nikmat sabar, sehingga emak saya pun hairan.
"Eh, engkau dah tak tahu marah ke?" kata mak saya. Saya senyum saja.
"Entahlah mak. Tak tahu apa nak dimarahkan," kata saya. Dan saya
terus bersabar sehinggalah saya memperolehi apa yang saya perolehi sekarang.
God is the greatest. Saat ini saya rasa seperti dilahirkan semula sebagai
Muslim. Dan saya juga rasa seperti dalam pantang, takut salah cakap. Saya
bimbang kalau saya sombong dan riya', Tuhan akan bolak-balikkan iman saya. Dan
perkara itu cukup mudah bagi Tuhan melakukannya.
Sewaktu saya membuat tawaf wida' saya pernah berdoa sambil menangis-nangis di
depan Kaabah. Saya berdoa "Ya Allah, janganlah jadikan kedatanganku ini
sebagai kedatangan yang terakhir." Kini saya menjadi agen membawa orang
pergi umrah dan haji, Alhamdulillah! Saya akan kerap ke sana. Saya boleh terus
menghampiri Tuhan.
|