HIKMAH HAJI
Ibadah haji
adalah merupakan Rukun Islam yang kelima dan dikatakan juga sebagai rukun yang
terakhir. Diantara kelima-lima rukun tersebut, ibadah haji ini agak luar biasa
sedikit. Ia dikatakan semikian kerana untuk melakukannya seseorang itu mesti
berkunjung ke Mekah Al Mukarramah di Arab Saudi. Disamping itu ia dikerjakan
cuma sekali setahun iaitu pada bulan haji (Zulhijjah) dan diwajibkan keatas
umat Islam yang mampu sekali seumur hidup. Kewajipan ke atas umat Islam untuk
mengerjakan haji ini adalah berdasarkan firman Allah : "Mengerjakan
haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah iaitu bagi orang-orang yang
sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari kewajipan
haji maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dari alam semesta." (Ali Imran
97)
Allah
menjanjikan bahawa orang yang mengerjakan haji akan dapat menyaksikan
keuntungan-keuntungan iaitu himah-hikmah yang boleh diperolehi disebalik
ibadah haji itu. Di antara hikmah-hikmah haji ialah:
1. Menjadi
tetamu Allah - Kaabah
atau Baitullah itu dikatakan juga sebagai 'Rumah Allah'. Walaubagaimana pun
haruslah difahami bahawa bukanlah Allah itu bertempat atau tinggal disitu.
Sesungguhnya Allah itu ada dimana mana. Ia dikatakan sebagai 'Rumah Allah'
kerana mengambil apa yang diucapkan oleh Nabi Ibrahim a.s. oleh yang demikian
orang yang mengerjakan haji adalah merupakan tetamu istimewa Allah. Dan sudah
menjadi kebiasaan setiap tetamu mendapat layanan yang istimewa dari tuan
rumah. Rasulullah bersabda: "Orang yang mengerjakan haji dan orang
yang mengerjakan umrah adalah tetamu Allah Azza wa jalla dan para
pengunjung-Nya. Jika mereka meminta kepada-Nya nescaya diberi-Nya. Jika mereka
meminta ampun nescaya diterima-Nya doa mereka. Dan jika mereka meminta syafaat
nescaya mereka diberi syafaat." (Ibnu Majah)
2. Mendapat
tarbiah langsung daripada Allah -
Di kalangan mereka yang pernah mengerjakan haji, mereka mengatakan bahawa
Ibadah Haji adalah kemuncak ujian daripada Allah s.w.t. Ini disebabkan jumlah
orang yang sama-sama mengerjakan ibadah tersebut adalah terlalu ramai hingga
menjangkau angka jutaan orang. Rasulullah bersabda: "Bahawa Allah Azza
wa jalla telah menjanjikan akan 'Rumah' ini, akan berhaji kepadanya tiap-tiap
tahun enam ratus ribu. Jika kurang nescaya dicukupkan mereka oleh Allah dari
para malaikat." Sabda Rasulullah laga, "Dari umrah pertama
hingga umrah yang kedua menjadi penebus dosa yang terjadi diantara
keduanya,sedangkan haji yang mabrur (haji yang terima) itu tidak ada
balasannya kecuali syurga." (Bukhari dan Muslim)
3.
Membersihkan dosa -
Mengerjakan Ibadah Haji merupakan kesempatan untuk bertaubat dan meminta ampun
kepada Allah. Terdapat beberapa tempat dalam mengerjakan ibadah haji itu
merupakan tempat yang mustajab untuk berdoa dan bertaubat. Malah ibadah haji
itu sendiri jika dikerjakan dengan sempurna tidak dicampuri dengan
perbuatan-perbuatan keji maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya sehingga ia
suci bersih seperti baru lahir ke dunia ini. Rasulullah bersabda: "Barangsiapa
yang melakukan Ibadah Haji ke Baitullah dengan tidak mengucapkan perkataan
keji, tidak berbuat fasik, dia akan kembali ke negerinya dengan fitrah jiwanya
yang suci ibarat bayi baru lahir daripada perut ibunya." (Bukhari
Muslim)
4.
Memperteguhkan iman -
Ibadah Haji secara tidak langsung telah menghimpunkan manusia Islam dari
seluruh pelusuk dunia. Mereka terdiri dari berbagai bangsa, warna kulit dan
bahasa pertuturan. Hal ini membuka pandangan dan fikiran tentang kebenaran
Al-Quran yang diterangkan semua dengan jelas dan nyata. Firman -Nya: "Hai
manusia,sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu
saling kenal mengenal." (Al-Hujurat 13) "Dan diantara
tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan
bahasamu dan warna kulitmu." (Ar-Rumm 22)
5. Iktibar
daripada peristiwa orang-orang soleh -
Tanah suci Mekah adalah merupakan lembah yang menyimpan banyak rentetan
peristiwa-peristiwa bersejarah. Diantaranya sejarah nabi-nabi dan rasul, para
sahabat Rasulullah,para tabiin, tabi’ut tabiin dan salafus soleh yang
mengiringi mereka. Sesungguhnya peristiwa tersebut boleh diambil iktibar atau
pengajaran untuk membangun jiwa seseorang. Rasulullah bersabda: "Sahabat-sahabatku
itu laksana bintang-bintang dilangit, jika kamu mengikut sahabat-sahabatku
nescaya kamu akan mendapat petunjuk." Di antara peristiwa yang
terjadi ialah:
Pertemuan
diantara Nabi Adam a.s. dengan Siti Hawa di Padang Arafah
Siti Hajar
dan Nabi Ismail ditinggalkan di tengah padang pasir yg kering kontang di
antara Bukit Safa dan Marwah.
Pengorbanan
Nabi Ibrahim a.s. menyembelih Nabi Ismail sebagi menurut perintah Allah.
Nabi Ismail
a.s. dan Nabi Ibrahim mendirikan Kaabah.
Lahirnya
seorang anak yatim yang miskin dan serba kekurangan. Tidak tahu membaca dan
menulis tetapi mempunyai akhlak yang terpuji hingga mendapat gelaran
'Al-Amin.
Medan Badar
dan Uhud sewajarnya mengingati seseorang kepada kegigihan Rasulullah dan
para sahabat menegakkan agama Allah.
6. Merasa
bayangan Padang Mahsyar -
Bagi orang yang belum mengerjakan haji tentunya belum pernah melihat dan
mengikuti perhimpunan ratusan ribu manusia yang berkeadaan sama tiada beza.
Itu semua dapat dirasai ketika mengerjakan haji. Perhimpunan di Padang Arafah
menghilangkan status dan perbezaan hidup manusia sehingga tidak dapat kenal
siapa kaya, hartawan, rakyat biasa, raja atau sebagainya. Semua mereka sama
dengan memakai pakaian seledang kain putih tanpa jahit. Firman Allah s.w.t:
"Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah adalah siapa yang paling
taqwa." (Al-Hujurat-13)
7. Syiar
perpaduan umat Islam -
Ibadah Haji adalah merupakan syiar perpaduan umat Islam. Ini kerana mereka
yang pergi ke Tanah Suci Makkah itu hanya mempunyai satu tujuan dan matlamat
iaitu menunaikan perintah Allah atau kewajipan Rukun Islam yang kelima. Dalam
memenuhi tujuan tersebut mereka melakukan perbuatan yang sama,memakai pakaian
yang sama, mengikut tertib yang sama malah boleh dikatakan semuanya sama. Ini
menggambarkan perpaduan dan satu hati umat Islam. Dan gambaran inilah yang
semestinya diamalkan dalam kehidupan seharian umat Islam apabila mereka
kembali ke negara asal masing-masing.