Seorang wanita tua berkongsi
pengalaman beliau tentang sebuah kisah menyayat hati yang disaksikan suatu
ketika dahulu. Cerita tersebut aneh dan menginsafkan kerana ia tentang seksaan
Allah terhadap seorang anak yang derhaka kepada ibunya sendiri. Ia diceritakan
olehNek Mariam. Begini ceritanya:
Jamilah 20an, (bukan nama
sebenar) adalah seorang isteri yang malang. Beliau telah ditinggalkan suami
sebaik sahaja melahirkan anak sulung mereka. Jamilah terpaksa akur dengan
nasib yang menimpanya itu. Mujurlah beliau masih mempunyai ibu bapa yang
mengambil berat akan dirinya.
Itulah yang dikata kasih
sejati seorang ibu. Tiada tolok bandingannya walhal semenjak kita dalam
kandungan lagi kasih sayang sudah dicurahkan sepenuh jiwa dan raga.
Setelah Jamilah bergelar janda, Jamilah kembali ke rumah ibunya. Walaupun
Jamilah tidak mendapat kasih sayang seorang suami namun beliau bertuah kerana
masih mendapat kasih sayang dari ibu sejati. Jamilah dan anak kecilnya dijaga
dan diberikan kasih sayang dengan sempurna. Soal makan dan minum Jamilah dan
anaknya tidak menjadi masalah kerana Jamilah masih mempunyai bapa yang masih
kuat mengerjakan ladang dan sawah. Bapa Jamilah keluar bekerja awal pagi dan
pulang lewat petang. Manakala ibunya tidak banyak aktiviti di rumah hanya
memberi makan haiwan ternakan sahaja. Adik-beradiknya semua sudah berkahwin
dan membawa haluan masing-masing.
Jamilah merupakan anak bongsu
dalam keluarga, mengenangkan nasib malang Jamilah, sudah tentu perasaan sayu
dan kasihan dari ibunya membuak-buak bila melihat anak dan cucu kecilnya tidak
terbela. Usia Jamilah masih remaja walaupun bergelar janda. Zaman remajanya
masih lagi belum puas dikecapi tambahan pula fikirannya masih belum matang
dalam erti hidup. Jamilah terasa dirinya begitu bebas dan terlepas dari
belenggu ketika hidup bersuami dahulu. Jamilah tidak merasa sebarang
kekurangan pada dirinya malah bertambah yakin kerana beliau masih muda dan
masih kelihatan cantik. Segala urusan anak kecilnya diserahkan kepada ibu
dengan alasan tidak biasa dengan karenah anak kecil. Sebenarnya Jamilah malas
untuk menguruskan anak kecil yang merimaskan.
Pada mulanya, ibu Jamilah
tidak perasan, maklum sahaja cucu sendiri, tentu tidak terasa bebannya. Hari
berganti hari hidup Jamilah bertambah selesa. Beliau hidup di bawah jagaan
yang sempurna. Semua soal makan minum, mengasuh anak kecil dan kerja rumah
tangga semuanya diambil alih oleh ibu dan bapanya. Jamilah hanya menolong ala
kadar sahaja agar tabiat malasnya tidak nampak ketara.
Perangai Jamilah semakin
menjadi-jadi. Melaram dengan pakaian- pakaian fesyen terkini serta bersolek
agar sentiasa cantik. Suatu hari, Jamilah telah menyampaikan hasratnya ingin
ke pekan untuk mendandan rambut dengan fesyen terkini. Namun ibunya melarang
kerana menurut orang ramai, kandungan bahan mendandan rambut ketika itu
diperbuat dari bahan haram yakni lemak babi. "Ala, bukan nak makan babi
tu, hanya sapu atas kepala agar rambut lebih hitam dan berkilat...."
Jamilah memberi alasan agar permintaannya ditunaikan. Namun begitu ibunya
tetap melarang. Maka berlakulah satu pertengkaran antara Jamilah dan
ibunya sehingga beliau tergamak mengeluarkan perkataan kesat sambil
menyumpah-nyumpah ibunya. "Binatang babi! Binatang anjing!" kata
Jamilah semakin berani setelah melihat ibunya mendiamkan diri sambil
menitiskan airmata.
Jamilah masih berdegil,
nafsunya untuk kelihatan cantik dan bergaya semakin meluap-luap hingga tidak
kira lagi soal halal dan haram. Matlamatnya supaya ramai lelaki melihat
dirinya cantik macam primadona. Sekaligus saham dirinya akan naik mengatasi
anak-anak dara sunti di kampung itu. Petang itu, bila Jamilah baru pulang dari
pekan mendandan rambut, tiba-tiba beliau terdengar suara anak kecilnya
menangis kuat teresak-esak. Hati Jamilah naik radang kerana beliau sangka
ibunya sengaja membiarkan anaknya begitu kerana ingin membalas dendam. Dengan
bengis, Jamilah terus naik ke rumah dan jadi seperti orang yang dirasuk
syaitan, terus meluru ke bilik anaknya yang menangis itu. Anaknya diambil dan
diletakkan di satu sudut di dapur dan terus menuju ke bilik ibunya untuk
bertindak sesuatu. Mulutnya tidak henti-henti mengomel sambil
menyumpah-nyumpah.
Sebaik sahaja beliau masuk,
kelihatan ibunya sedang mengerjakan solat. Kerana terlalu marah, dikala ibunya
sedang sujud, beliau bertindak menendang ibunya sambil berkata "Oi
babi,anjing, beruk! Tak boleh harap .... menyusahkan orang, celaka!"
Ibunya yang jatuh tersungkur di hadapan sejadah bangun mengaduh dan
terpinga-pinga. Beliau tidak tahu apa sebabnya Jamila tiba-tiba naik angin.
Setelah beberapa lama berlinanganlah airmata ibunya apabila menyedari perkara
sebenar. Sebenarnya bukan niat ibunya membiarkan cucunya itu menangis
keseorangan, ketika itu beliau sedang bersembahyang, maka terpaksalah
membiarkan budak itu sebentar. Sudah seberapa daya beliau menyegerakan
solatnya setelah sedar cucunya menangis kuat, namun belum sempat selesai
solat, Jamilah terlebih dahulu datang menyepak punggungnya. Hati ibu
mana yang tak hancur remuk mengenangkan anaknya yang sampai hati dan tergamak
melakukan sebegitu terhadapnya berbanding kasih sayang yang telah dicurahkan
secukupnya demi anak tercinta.
Ibu mana yang tidak sayangkan
anak....dalam keadaannya yang sakit seluruh sendi akibat tersungkur atas tikar
sembahyang tadi, beliau telah berdoa pada Allah agar dapat diampun dosa
anaknya itu. Dengan takdir Allah, tiba-tiba Jamilah berteriak dari arah dapur.
Macam sesuatu yang telah berlaku pada Jamilah mahupun cucunya. Dengan lemah
longlai, tergesa-gesa beliau pergi mendapatkan Jamilah. "Jeritannya
sungguh kuat hingga jiran berdekatan dapat mendengarnya. Tambah terkejut
apabila kami semua menyaksikan seutas rantai besi tiba-tiba sahaja keluar
memecah lantai dapur dan melilit dan merantai kaki Jamilah dengan kuat.
Jamilah menjerit kesakitan dan anak yang dikendong terlepas dalam dakapannya.
Ibu Jamilah separuh pengsan melihat keadaan Jamilah sebegitu....," jelas
Nek Mariam yang merupakan salah seorang yang menyaksikan keajaiban Allah yang
maha esa itu.
Maka berduyun-duyunlah orang
kampung datang untuk membantu melepaskan cengkaman rantai besi yang melilit
kemas di kedua-dua kaki Jamilah. Bertungkus-lumus orang cuba memotong besi itu
namun tidak berjaya. Jamilah meraung sekuat-kuat hati kerana terlalu sakit.
Akibatnya darah tidak henti mengalir membasahi lantai dapur. Setelah beberapa
jam berlalu, rantai besi yang mempunyai kekuatan luar biasa itu masih juga
tidak boleh dileraikan dari kaki Jamilah. Akibat pendarahan yang banyak,
Jamilah meninggal di situ juga dengan riak muka yang amat menakutkan. Ibu
Jamilah terpaku tidak mampu melakukan apa-apa. Beliau sedar itulah balasan
Allah terhadap anaknya, cuma beliau tidak menyangkakan secepat itu.
"Anehnya, sebaik sahaja Jamilah meninggal, rantai itu terurai dengan
sendiri lalu masuk kembali ke dalam tanah. Kami semua begitu terpegun dan
berasa insaf dengan apa terjadi. Itulah balasan Allah terhadap seorang anak
yang derhaka," sambung Nek Mariam sambil menitiskan airmata.
Jenazah Jamilah diuruskan
seperti biasa dan dikebumikan. Upacara membaca ayat suci Al Quran di atas
kubur selama 7 hari memang sering dilakukan oleh masyarakat di Pantai Timur
dan menjadi satu upacara kebiasaan kepada sesiapa yang baru dikebumikan.
Semasa orang-orang kampung bergilir- gilir membaca Al Quran, maka satu lagi
petunjuk dari Allah terjadi. "Pada waktu hampir subuh, mereka terdengar
satu suara yang meraung- raung dari arah liang lahat. "Mak ooiii.....!!
Ayah ooiii!! Tolonglah...! Allah Tuhanku....minta tolong...!
Mak...ayah...tolonglah!" suara mendayu-dayu itu sungguh menyeramkan
dan tidak henti-henti," cerita Nek Mariam lagi.
Salah seorang dari mereka
bertindak memberitahu pada ibu Jamilah akan suara itu yang mereka syak datang
dari arah liang lahat. Dengan bantuan jiran-jiran berdekatan, mereka segera ke
kubur Jamilah untuk menggali kubur itu kerana mereka sangkakan Jamilah masih
hidup. Setelah digali, alangkah terkejutnya bila melihat jasad Jamilah yang
kaku dan berbalut itu telah bertukar rupa. Kepalanya menjadi kepala seekor
babi! Masya Allah.... Ramai orang menyaksikannya ....satu lagi keajaiban yang
sengaja Allah ingin memperlihatkan pada hamba-hambanya. Bertambah sedih
dan sayu hati ibu Jamilah melihat keadaan anaknya begitu....
Malam itu beliau bermimpi,
Jamilah datang kepadanya dengan keadaan yang amat buruk dan daif sambil
berkata: "Tak payahlah ibu mengadakan kenduri arwah untuk saya,
kerana saya telah terkeluar daripada Islam...." menyedari hakikat itu
ibunya begitu terkejut dan tak henti-henti menangis sambil berdoa kepada Allah
agar mengampuni dosa anaknya itu. "Maka tiadalah kenduri arwah dibuat
untuk Jamilah. Itulah cerita tentang balasan Tuhan terhadap hambanya yang
berdosa. Dosa pada Tuhan mungkin dapat diampunkan jika kita bertaubat nasuha,
tetapi dosa pada manusia, lebih-lebih lagi kepada kedua ibu-bapa, harus kita
sendiri memohon ampun dan maaf....Jika tidak tanggunglah dosa itu dan akan
dikira dan dibalas setimpal di akhirat kelak..." Nek Mariam mengakhiri
ceritanya yang penuh keinsafan sesuai untuk kita semua.