Sesungguhnya
aku telah mengalami mimpi yang ajaib malam kelmarin. Aku telah melihat seorang
dari umatku telah didatangi oleh Malaikat Maut untuk mengambil nyawa, maka
malaikat itu telah terhalang oleh ketaatannya kepada kedua ibu bapanya.
Aku melihat
juga seorang dari umatku telah disediakan untuk menerima seksa kubur, maka dia
telah diselamatkan oleh kesan wuduknya.
Aku melihat
juga seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan, maka ia telah
dibebaskan dari bahayanya oleh berkat zikrullah.
Aku melihat
juga seorang dari umatku diseret oleh Malaikat Azab maka segera muncul
solatnya serta melepaskannya dari azab tersebut.
Aku melihat
juga seorang dari umatku sedang ditimpa dahaga yang teramat sangat, setiap
kali ia mendatangi sesuatu perigi, dihalang untuk meminumnya, maka segera
datang puasanya serta memberinya minum hingga ia merasa puas.
Aku melihat
juga seorang dari umatku yang mengunjungi kumpulan para nabi, yang ketika itu
sedang duduk berkumpul-kumpul, setiap kali dia mendekati mereka, dia diusir
dari situ, maka menjelmalah mandi junubnya sambil memimpinnya ke kumpulan itu
seraya menunjukkan supaya duduk di sisiku.
Aku melihat
juga seorang dari umatku dikabusi oleh suasana gelap, di hadapannya gelap, di
kanannya gelap, di kirinya gelap, di atasnya gelap, di bawahnya juga gelap,
sedang ia dalam keadaan bingung. Maka datanglah pahala haji dan umrahnya, lalu
mengeluarkan dari suasana gelap-gelita itu lalu memasukkannya ke dalam suasana
terang-benderang.
Aku melihat
juga seorang dari umatku berbicara kepada Mukminin, akan tetapi tidak seorang
pun dari mereka yang mahu berbicara dengannya, maka menjelmalah
silaturrahimnya seraya menyeru orang-orang itu, katanya: Wahai kaum Mukminin
sambutlah bicaranya, lalu mereka pun berbicaralah dengannya.
Aku melihat
seorang dari umatku sedang menepis-nepis bahang api dan percikannya dari
mukanya, maka segera datanglah pahala sedekahnya lalu melindungi muka dan
kepalanya dari bahaya api itu.
Aku melihat
juga seorang dari umatku sedang diseret oleh Malaikat Zabaniah ke merata
tempat, maka menjelmalah Amar Makruf dan Nahimunkar seraya menyelamatnya dari
cengkaman neraka serta menyerahkannya pula kepada Malaikat Rahmat.
Aku melihat
juga seorang dari umatku sedang merangkak-rangkak, antaranya dengan Tuhan
dipasang tabir, maka menjelmalah budi pekerti seraya memimpinnya sehingga
dibuka pemisah tadi dan masuklah ia ke hadrat Allah Taala.
Aku melihat
juga seorang dari umatku terheret ke sebelah kiri oleh buku catatannya, maka
menjelmalah perasaan kasih kepada Allah menukarkan tujuan buku catatan itu ke
arah kanan.
Aku melihat
juga seorang dari umatku terangkat timbangannya, maka menjelmalah anak-anaknya
yang mati kecil lalu menekan timbangan itu sehingga menjadi berat.
Aku melihat
juga seorang dari umatku sedang berdiri di pinggir Jahanam, maka menjelmalah
perasaan gerunnya terhadap seksa Allah Taala lalu membawa jauh dari tempat
itu.
Aku melihat
juga seorang dari umatku terjerumus ke dalam api neraka, maka datanglah air
matanya yang mengalir kerana takut kepada Allah Taala lalu menyelamatkanya
dari api neraka itu.
Aku melihat
juga seorang dari umatku sedang meniti sirat manakala seluruh tubuhnya
bergoncang seperti bergoncangnya dedaun yang ditiup angin, maka menjelmalah
baik sangkanya terhadap Allah Taala lalu mententeramkan kegoncangan itu lalu
dengan mudah meniti hingga ke hujung titian itu.
Aku melihat
juga seorang dari umatku sedang meniti atas titian sirat, kadangkala ia
merangkak dan kadangkala ia meniarap, maka menjelmalah solat menyeru kepadaku
lalu aku memimpin tangannya dan mengajaknya berdiri dan meniti hingga ke
penghujung titian itu.
Aku melihat
juga seorang dari umatku sedang hampir tiba di pintu syurga, tiba-tiba
pintu-pintunya ditutup, maka menjelmalah penyaksiannya bahawa tiada Tuhan
melainkan Allah lalu membukakan pintu-pintu syurga itu untuknya sehingga ia
boleh memasukinya.
Aku melihat
ada ramai orang yang digunting-gunting lidahnya, maka aku bertanya kepada
Jibril siapakah mereka itu, maka Jibril menjawab: Mereka itulah orang-orang
yang suka 'membawa mulut' ke sana ke mari.
Aku melihat
juga orang-orang yang digantung dengan lidah-lidah mereka, maka aku bertanya
Jibril siapakah mereka itu, maka Jibril menjawab: Mereka itulah orang-orang
yang melempar tuduhan terhadap kaum Mukminin dan Mukminat dengan tuduhan tanpa
bukti dan palsu.