KISAH UNTA
MEMATAHKAN RANCANGAN ABU JAHAL UNTUK MEMBUNUH RASULULLAH S.A.W
Setelah pelbagai usaha oleh kaum
Quraisy untuk menyekat dan menghapuskan penyebaran agama Islam menemui
kegagalan, maka Abu Jahal semakin benci terhadap Rasulullah S.A.W. Kebencian
Abu Jahal ini tidak ada tolok bandingnya, malah melebihi kebencian Abu Lahab
terhadap Rasulullah S.A.W.
Melihatkan agama Islam
semakin tersebar, Abu Jahal pun berkata kepada kaum Quraisy di dalam suatu
perhimpunan, "Hai kaumku! Janganlah sekali-kali membiarkan Muhammad
menyebarkan ajaran barunya dengan sesuka hatinya. Ini adalah kerana dia telah
menghina agama nenek moyang kita, dia mencela tuhan yang kita sembah. Demi
Tuhan, aku berjanji kepada kamu sekalian, bahawa esok aku akan membawa batu ke
Masjidil Haram untuk dibalingkan ke kepala Muhammad ketika dia sujud. Selepas
itu, terserahlah kepada kamu semua samada mahu menyerahkan aku kepada
keluarganya atau kamu membela aku dari ancaman kaum kerabatnya. Biarlah
orang-orang Bani Hasyim bertindak apa yang mereka sukai."
Tatkala mendengar jaminan
daripada Abu Jahal, maka orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu berkata
secara serentak kepadanya, "Demi Tuhan, kami tidak akan sekali-kali
menyerahkan engkau kepada keluarga Muhammad. Teruskan niatmu."
Orang ramai yang menghadiri
perhimpunan itu merasa bangga mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Abu
Jahal bahawa dia akan menghapuskan Muhammad kerana jika Abu Jahal berjaya
menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W bererti akan terhapuslah segala keresahan dan
kesusahan mereka selama ini yang disebabkan oleh kegiatan Rasulullah S.A.W
menyebarkan agama Islam di kalangan mereka.
Dalam pada itu, terdapat juga
para hadirin di situ telah mengira-ngira perbelanjaan untuk mengadakan pesta
sekiranya Nabi Muhammad S.A.W berjaya dihapuskan. Pada pandangan mereka adalah
mudah untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W yang dikasihi oleh Tuhan Yang Maha
Esa serta sekalian penghuni langit. Padahal Allah tidak akan sekali-kali
membiarkan kekasih-Nya diancam dan diperlakukan seperti binatang.
Dengan perasaan bangga,
keesokan harinya di sebelah pagi, Abu Jahal pun terus pergi ke Kaabah iaitu
tempat biasa Nabi Muhammad S.A.W bersembahyang. Dengan langkahnya seperti
seorang satria, dia berjalan dengan membawa seketul batu besar di tangan
sambil diiringi oleh beberapa orang Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia
mengajak kawan-kawannya ialah untuk menyaksikan bagaimana nanti dia akan
menghempapkan batu itu di atas kepala Nabi Muhammad S.A.W.
Sepanjang perjalanan itu dia
membayangkan bagaimana keadaan Nabi Muhammad nanti setelah kepalanya dihentak
oleh batu itu. Dia tersenyum sendirian apabila membayangkan kepala Nabi
Muhammad S.A.W pecah dan tidak bergerak lagi. Dan juga membayangkan bagaimana
kaum QUraisy akanmenyambutnya sebagai pahlawan yang telah berjaya membunuh
musuh nombor satu mereka.
Sebaik sahaja Abu Jahal tiba
di perkarangan Masjidil Haram, dilihatnya Rasulullah S.A.W baru sahaja sampai
dan hendak mengerjakan sembahyang. Dalam pada itu, Nabi Muhammad S.A.W tidak
menyedari akan kehadiran Abu Jahal dan kawan-kawannya di situ. Baginda tidak
pernah terfikir apa yang hendak dilakukan oleh Abu Jahal terhadap dirinya pada
hari itu.
Sebaik-baik sahaja Abu Jahal
melihat Rasulullah S.A.W telah mula bersembahyang, dia berjalan perlahan-lahan
dari arah belakang menuju ke arah Nabi Muhammad S.A.W. Abu Jahal melangkah
dengan berhati-hati, setiap pergerakannya dijaga, takut disedari oleh baginda.
Dari jauh kawan-kawan Abu
Jahal memerhatikan dengan perasaan cemas bercampur gembira. Dalam hati mereka
berkata, "Kali ini akan musnahlah engkau hai Muhammad."
Sebaik sahaja Abu Jahal
hendak menghampiri Nabi Muhammad S.A.W dan menghayun batu yang dipegangnya
itu, tiba-tiba secepat kilat dia berundur ke belakang. Batu yang dipegangnya
juga jatuh ke tanah. Mukanya yang tadi merah kini menjadi pucat lesi
seolah-olah tiada berdarah lagi. Rakan-rakannya yang amat ghairah untuk
melihat Nabi Muhammad S.A.W terbunuh, tercengang dan saling berpandangan.
Kaki Abu Jahal seolah-olah
terpaku ke bumi. Dia tidak dapat melangkahkan kaki walaupun setapak.
Melihatkan keadaan itu, rakan-rakannya segera menarik Abu Jahal dari situ
sebelum disedari oleh baginda. Abu Jahal masih terpinga-pinga dengan kejadian
yang dialaminya.
Sebaik sahaja dia sedar dari
kejutan peristiwa tadi, rakan-rakannya tidak sabar untuk mengetahui apakah
sebenarnya yang telah berlaku. Kawannya bertanya, "Apakah sebenarnya yang
terjadi kepada engkau, Abu Jahal? Mengapa engkau tidak menghempapkan batu itu
ke kepala Muhammad ketika dia sedang sujud tadi?"
Akan tetapi Abu Jahal tetap
membisu, rakan-rakannya semakin kehairanan. Abu Jahal yang mereka kenali
selama ini seorang yang lantang berpidato dan menyumpah seranah Nabi S.A.W,
tiba-tiba sahaja diam membisu.
Dalam pada itu, Abu Jahal
masih terbayang-bayang akan kejadian yang baru menimpanya tadi. Dia
seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, malah dia sendiri tidak
menyangka perkara yang sama akan berulang menimpa dirinya.
Perkara yang sama pernah
menimpa Abu Jahal sewaktu Rasulullah S.A.W pergi ke rumah Abu Jahal apabila
seorang Nasrani mengadu kepada baginda bahawa Abu Jahal telah merampas
hartanya. Pada masa itu Abu Jahal tidak berani berkata apa-apa pada baginda
apabila dia terpandang dua ekor harimau menjadi pengawal peribadi Rasulullah
S.A.W.
Kemudian setelah habis mereka
menghujani Abu Jahal dengan pelbagai soalan, maka Abu Jahal pun mula bersuara,
"Wahai sahabatku! Untuk pengetahuan kamu semua, sebaik sahaja aku
menghampiri Muhammad hendak menghempapkan batu itu ke kepalanya, tiba-tiba
muncul seekor unta yang besar hendak menendang aku. Aku amat terkejut kerana
belum pernah melihat unta yang sebegitu besar seumur hidupku. Sekiranya aku
teruskan niatku, nescaya akan matilah aku ditendang oleh unta itu, sebab
itulah aku berundur dan membatalkan niatku."
Rakan-rakan Abu Jahal berasa
amat kecewa mendengar penjelasan itu, mereka tidak menyangka orang yang selama
ini gagah dan beria-ia hendak membunuh Nabi Muhammad S.A.W hanya tinggal
kata-kata sahaja. Orang yang selama ini diharapkan boleh menghapuskan Nabi
Muhammad S.A.W dan pengaruhnya hanya berupaya bercakap seperti tin kosong
sahaja.
Setelah mendengar penjelasan
dari Abu Jahal yang tidak memuaskan hati itu, maka mereka pun berkata kepada
Abu Jahal dengan perasaan kehairanan, "Ya Abu Jahal, semasa kau
menghampiri Muhammad tadi, kami memerhatikan engkau dari jauh tetapi kai tidak
napak akan unta yang engkau katakan itu. Malah bayangnya pun kami tidak
nampak."
Rakan-rakan Abu Jahal mula
sangsi dengan segala keterangan yang diberikan oleh Abu Jahal. Mereka
menyangka Abu Jahal sentiasa mereka-reka cerita yang karut itu, mereka mula
hilang kepercayaan terhadapnya. Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal mereka
tidak berapa endahkan lagi.