ADAB ADAB BERPUASA BAGI
MENDAPAT KEREDHAAN ALLAH SWT
Selain dari
amalan ibadat wajib dan sunat yang diperbanyakkan di dalam bulan Ramadan, kita
perlu menjauhi perbuatan-perbuatan yang boleh menyebabkan puasa itu menjadi
sia-sia.
Pertama, hendaklah
mengelak pandangan ke tempat-tempat yang dilarang, setengahnya pergi lebih jauh
iaitu melarang melihat walaupun isteri sendiri dengan pandangan bernafsu, apatah
lagi wanita-wanita lain. Begitulah juga melihat perbuatan-perbuatan maksiat atau
jika maksiat itu dilakukan, hendaklah dijauhi daripadanya.
Rasulullah
(saw) bersabda: "Pandangan adalah seumpama anak panah daripada
syaitan. Barangsiapa takut kepada Allah, jauhilah dirinya daripada melihat
kepada maksiat. Maka Allah mengurnia-kannya dengan suatu (cahaya iman) yang
kemanisan dan keghairahannya akan terasa di hati.”
Kedua, jagalah lidah daripada berdusta, perbualan yang sia-sia, mengumpat,
hujjah-menghujjah, bersumpah-sumpah dan sebagainya. Pada zaman Rasulullah (saw),
dua orang wanita sedang berpuasa dan tidak dapat menahan keperitan kelaparan,
sehingga kedua-duanya hampir maut. Para sahabat membawa berita ini ke
pengetahuan Nabi (saw), lantas baginda mengirimkan sebuah mangkuk dan menyuruh
mereka muntah ke dalamnya. Apabila kedua-duanya memuntahkan isi perut mereka ke
dalam mangkuk, maka keluarlah ketulan-ketulan daging mentah dan darah. Para
sahabat terperanjat besar, lalu sabda Rasulullah (saw): "Mereka
berpuasa dengan makanan yang halal tetapi mereka mengumpat semasa sedang
berpuasa, maka keadaan puasa mereka menjadi semakin payah. " Oleh
sebab itulah kedua-dua wanita itu hampir-hampir menemui maut.
Salah
seorang sahabat Nabi (saw) bertanya: "Apakah itu mengumpat?"
Rasulullah (saw) menjawab: "Menyebut sesuatu mengenai saudaramu di
belakangnya yang dia tidak suka." Selanjutnya Sahabi itu bertanya:
"Dan masihkah dikatakan mengumpat sekiranya apa yang disebutkan mengenainya
itu benar terdapat padanya?" Rasulullah (saw) menjawab: "Dalam
hal demikian (iaitu jika yang disebutkan itu memang benar) maka sebenarnya
itulah mengumpat; tetapi jika apa yang disebutkan itu palsu, maka kamu telah
memfitnahnya."
Ketiga, hendaklah
kita berjaga-jaga daripada mendengar sesuatu yang makruh. Samalah juga haram
mendengar kepada sesuatu yang tidak sepatutnya disebutkan. Rasulullah (saw)
telah bersabda: "Mengenai mengumpat, kedua-dua pengumpat dan orang yang
mendengar keadaannya adalah sama berkongsi dosa."
Keempat, lain-lain
anggota jasad hendaklah dijauhi daripada dosa dan perkara-perkara yang haram.
Tangan jangan menyentuhinya dan kaki janganlah berjalan ke arahnya. Mengenai
perut, hendaklah berhati-hati agar ketika mengambil makanan, khasnya semasa
berbuka (iftar), tidak ada yang memasukinya daripada sesuatu yang diragu-ragukan
sama ada halal atau tidaknya. Seumpama orang yang berpuasa yang kemudian semasa
berbuka, memakan benda yang haram adalah seperti orang yang sakit memakan ubat
tetapi mencampurkannya juga dengan sedikit racun yang akan membinasakannya.
Kelima, tidaklah
digalakkan memakan sekenyang-kenyangnya semasa iftar walaupun makanan itu halal
kerana maksud daripada puasa kita tidak akan tercapai. Tujuan puasa adalah untuk
mengekang nafsu syahwat kita dan meninggikan keyakinan serta memperkuatkan
rohaniyah kita. Selama sebelas bulan kita makan dan minum dengan
sebebas-bebasnya, maka pada bulan Ramadan, patutlah kita mencerut sedikit perut
kita. Selalunya, kita menjadikan tabiat buruk dengan memenuhkan perut kita
sepenuh-penuhnya semasa iftar dan sekali lagi menyumbatnya tatkala bersahur
sebagai persiapan menghadapi siang harinya. Maka sebenarnya kita menambahkan
purata makanan kita. Dalam Ramadan, jenis makanan yang kita makan, tidak pernah
dimakan pada masa-masa lain. Pemakanan yang begitu sebenarnya bertentangan sama
sekali dengan semangat Ramadhan dan berpuasa. "Syaitan mengalir ke dalam
jasad kita seperti darah, maka tutuplah jalannya dengan berlapar."
Begitulah juga,
perasaan akan dapat dipupuk terhadap si miskin dan orang yang lapar. Nabi saw
kita sendiri bersabda: "Tidak ada yang lebih dibenci oleh Allah (swt)
selain sesuatu yang diisi penuh iaitu daripada memenuhi perut dengan
makanan." Pada ketika yang lain, Rasulullah saw bersabda: "Memadailah
beberapa suap makanan yang dapat meluruskan belakang, satu pertiga dengan
minuman, sedang satu pertiga lagi dibiarkan kosong."
Keenam ialah,
selepas menjalani puasa, hendaklah selalu berasa bimbang sama ada puasanya
diterima Allah ataupun tidak. Beginilah hendaknya dilakukan kepada semua bentuk
ibadah. Seseorang itu mungkin tidak menyedari bahawa bahagian-bahagian yang
penting tertinggal. Hendaklah berasa takut-takut mungkin amalan-amalan kita akan
ditolak oleh Allah. Peristiwa-peristiwa begini banyak diriwayatkan dalam hadis.
Maka seseorang yang berpuasa bukanlah setakat berpuasa dengan ikhlas tetapi
hendaklah dengan pengharapan agar puasanya diterima oleh Allah (swt).
Enam perkara
yang disebutkan di atas adalah wajib bagi orang-orang yang benar-benar bertaqwa.
Kepada yang lebih bertaqwa lagi, perkara yang ketujuh ditambah lagi
kepadanya. laitu, semasa menjalani puasanya, janganlah dia bimbang apa yang
hendak dimakan sewaktu berbuka. Sebahagian Syeikh-syeikh sampai menganggapnya
sebagai batal apabila memikirkan mengenai makanan untuk berbuka ataupun
seseorang itu berusaha untuk memperolehi sesuatu, kerana perlakuan yang demikian
menggambarkan kelemahan keyakinannya terhadap janji Allah yang mengambil
tanggungjawab untuk memberi rezeki.