BERSAHUR
Ibnu Umar(ra)
meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda: "Sesungguhnya Allah dan
para malaikat-Nya mengirim rahmat ke atas mereka yang makan sahur. "
Betapa besarnya
kurnia Allah ke atas kita sehinggakan makanan yang diambil ketika bersahur untuk
berpuasa pun diganjari dengan banyaknya. Terdapat banyak hadis yang menyatakan
kelebihan bersahur dan ganjaran-ganjarannya juga dinyatakan.
Pengulas Sahih
Bukhari, Allamah Aini telah menukilkan kelebihan bersahur daripada tujuh
belas orang sahabat yang berlainan dan kesemua ulama bersetuju bahawa bersahur
adalah mustahab (disukai). Kebanyakan orang sering terlepas daripada ganjaran
besar ini semata-mata kerana kemalasan mereka. Setengahnya sudah tarawikh,
mereka lantas makan (yang disangka mereka itulah makanan sahur) lalu pergi
tidur. Betapa besarnya berkat yang telah mereka kerugian! Sahur sebenarnya
bermaksud mengambil makanan sebelum hampir waktu subuh menjelang. Setengah ulama
mengatakan bahawa waktu sahur bermula selepas sebahagian daripada malam berlalu (mirqat).
Pengarang Kasy-Syaff (Zamakhsyari) telah membahagikan malam kepada enam bahagian, dan menunjukkan
bahagian yang terakhir adalah waktu sahur, jadinya apabila malam (iaitu setelah
matahari terbenam sehingga subuh) mengambil masa sebelas atau dua belas jam,
maka dua jam yang terakhir adalah waktu yang tepat untuk bersahur. Maka
hendaklah diingat juga bahawa mengambil makanan pada waktu yang paling lewat
terlebih besar ganjarannya daripada makan pada waktu awal dengan syarat tidak
ada keraguan bahawa makanan sahur telah diambil sebelum subuh. Banyak sekali
hadis-hadis yang memberitahu tentang kelebihan bersahur.
Rasulullah
(saw) bersabda: "Perbezaan di antara puasa yang kita lakukan dengan yang
dilakukan oleh Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah terletak di dalam
pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak melakukannya." Baginda
bersabda lagi: "Bersahurlah kerana di dalamnya terdapat berkat yang
besar, dan lagi, terdapat keberkatan di dalam tiga perkara iaitu dalam jamaah,
di dalam makanan 'tharid' dan bersahur. "
Di dalam hadis
ini, penggunaan perkataan jamaah adalah bersifat umum, yang mana dapat
disimpulkan bahawa ia termasuk solat berjamaah dan lain-lain amalan kebaikan
yang dilakukan secara berjamaah kerana pertolongan Allah datang kepada mereka. Tharid adalah sejenis makanan yang enak yang diperbuat daripada roti bakar yang
dimasak bersama daging. Perkara ketiga yang disebutkan di dalam hadis ini ialah
sahur. Apabila Rasulullah (saw) mengundang mana-mana sahabatnya untuk makan
sahur bersama-samanya, baginda selalu bersabda: "Marilah mengambil
makanan yang berkat ini bersama-samaku."
Di dalam sebuah
hadis dinyatakan bahawa: "Bersahurlah dan perkuatkan puasamu. Dan
tidurlah selepas pertengahan (khailullah) untuk membantumu bangun pada akhir
malam (untuk beribadah). "
Abdullah bin Harith (ra)
meriwayatkan bahawa seorang sahabat telah berkata: "Suatu
ketika aku menziarahi Rasulullah (saw) tatkala baginda sibuk bersahur. Kemudian,
Rasulullah (saw) bersabda: 'Inilah perkara yang penuh dengan keberkatan.’