AL-QURAN
SEBAGAI PEMBELA DI HARI AKHIRAT
Abu Umamah
r.a. berkata : "Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua
mempelajari Al-Quran, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang
kelebihan Al-Quran." Telah bersabda Rasulullah S.A.W : “Belajarlah
kamu akan Al-Quran, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang
mana di kala itu orang sangat memerlukannya."
Ia akan
datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu
kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah
kamu?" Maka berkata Al-Quran : "Akulah yang kamu cintai dan
kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah
membacaku di waktu siang hari."
Kemudian
berkata orang yang pernah membaca Al-Quran itu : "Adakah kamu
Al-Quran?" Lalu Al-Quran mengakui dan menuntun orang yang pernah
membaca mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan
dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas
kepalanya.
Pada kedua
ayah dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar
dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari
manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?"
Lalu dijawab
: "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari
Al-Quran."