Syafaat Al
Quran
Di dalam
sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Pada hari Kiamat
nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang
lebih tinggi daripada Al - Quran, bukannya Nabi, bukannya malaikat dan
sebagainya".
Melalui hadis
di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Quran adalah pemberi syafaat yang mana
syafaatnya akan diterima Allah.Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa
"Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan
upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian
kepalanya".
Apabila mayat
itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan
itu. Bila selesai dikebumikan, orang ramai akan pulang ke rumah dan datanglah
dua malaikat; Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu
supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal
dunia itu tanpa sebarang gangguan. Tetapi orang yang kacak itu akan berkata :
"Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau
dalam keadaan apa sekalipun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan
meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!" Selepas itu dia
berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata: "Akulah Al-Quran yang
mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala
dengan suara yang kuat. Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar
dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi" Bila pertanyaan
selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera
yang penuh dengan kasturi dari malaikat-malaikat dari syurga.
Alangkah
indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita. Kita tahu tentang
tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha
untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi.
Cuba kita
renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah.
Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau
mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat. Dan apabila berada di alam
kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan
kecuali amalan - amalan kita sewaktu di dunia.
Allah telah
menjanjikan Al - Quran sebagai pemberi syafaat terulung dan Allah itu adalah
benar. Dekatilah Al - Quran dan jadikalah ia teman di dunia dan pemberi
syafaat di Akhirat. Semoga Allah swt memberikan kita restu dan hidayahnya.