10 AMALAN
YANG TERBALIK
Marilah kita
bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita.
Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan
dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar
atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain.
Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-
1. Amalan
kenduri aruah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu
kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik
dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan
jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan
dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula
menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah
mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan
harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati
yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
2. Kalau hadir
ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang
yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka
segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak
segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita
patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan
rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika
menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi
bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja
bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
4. Kalau
menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan
sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang
dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah
rasa gembira dan tidak membazir.
5. Kalau
bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas.
Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang
dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
6. Bulan puasa
adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi
kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang
Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam
setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah.
Bukankah terbalik amalan kita?
7. Kalau nak
mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke
Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri
dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri,
bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik?
Atau kita mempunyai tujuan lain.
8. Semua
ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka
dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak
boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen
baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar
sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar
RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik
amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al
Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
9. Kalau
bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi
kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja.
Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak
datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak
ke rumahNya segan dan malas.
10. Seorang
isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi
berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut
seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain.
Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.
Cukup dengan contoh-contoh di
atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita
beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang
sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka
biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.