DUA NIKMAT
YANG TIDAK TERASA
Allah
memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya. Bagaimanapun ada dua
nikmat yang besar yang banyak orang tidak terasa. Sabda Rasulullah: "Dua
nikmat yang ramai orang yang tertipu di dalamnya iaitu kesihatan dan
kelapangan waktu." Riwayat Bukhari.
"Sesungguhnya
di antara nikmat yang pertama kali ditanyakan kepada hamba pada hari kiamat
ialah dengan mengatakan kepadanya, "Bukankah Kami membuat badanmu sihat dan
Kami menjirus dengan air yang dingin?" Riwayat
Tirmizi, Ibn Hibban dan Hakim.
Sihat dan
kelapangan waktu adalah nikmat yang besar. Bila tidak sihat iaitu sakit, barulah
manusia akan terasa betapa besarnya nilai sihat. Apabila manusia tidak sedar
nikmat sihat, maka banyak orang tidak mengingat Allah,tidak takut pada Allah
bila mereka sihat. Dan sebaliknya mereka melakukan maksiat kerana mereka sihat.
Inilah yang dikatakan orang yang telah kufur nikmat iaitu orang yang telah
mempergunakan nikmat Allah untuk kembali menentang Allah.
Satu lagi
nikmat ialah kelapangan. Banyak orang tidak sedar mengenainya. Bila lapang,
sihat, rezeki melimpah,harta telah mencukupi, banyak kemudahan ada, mereka lupa
pada Allah. Mereka gunakan kelapangan ini untuk kepentingan diri mereka sahaja,
tidur, keluar bersuka-suka, melancong ke tempat maksiat, melengung di kedai
kopi, bersembang-sembang dan sebagainya. Sedangkan masa lapang yang Allah bagi
hendaklah diguna untuk mengingati Allah, bekerja ke jalan Allah, melakukan kerja
kebajikan masyarakat dan sebagainya. Bila waktu sibuk datang semula kepada
mereka, mereka akan terus melupakan tuhan! Apa tidaknya, jika masa lapang pun
mereka tidak mengingat Allah, apalagi bila sibuk, khususnya sibuk mengejar
dunia.
Sabda
Rasulullah: "Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara yang
lain, iaitu masa mudamu sebelum masa tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa
kayamu sebelum masa miskinmu, masa luangmu sebelum masa sibuk dan masa hidupmu
sebelum matimu." (Ditakhrij Al Hakim)