MENGAPAKAH UMAT
ISLAM TERUS TEWAS
Umum mengakui
bahawa umat Islam hari ini terus tewas dan tertinggal dalam banyak lapangan.
Mereka miskin di negara sendiri, bahkan ditindas oleh orang bukan Islam. Orang
Islam dipandang rendah oleh bukan Islam.
Dalam Al Quran,
tuhan telah menggariskan petunjuk untuk mereka mencapai kejayaan. Tetapi umat
Islam sendiri tidak mengikutinya menyebabkan kita kehilangan sebab untuk Allah
memberikan pertolongan.
1. Firman
Allah: "Dan adalah hak kami memberi pertolongan kepada orang yang
beriman" Ar Rum ayat 47. Hakikat yang wujud hari ini ialah orang
Islam lemah iman dan tidak kukuh pegangan kepada Allah. Dengan itu
tidak menjadi sebab bagi Allah membantu kecuali sebahagian dari mereka sahaja.
2. Firman
Allah: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada suatu
kaum hingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka" Ar Ra'ad
ayat 11.Ayat ini merujuk kepada usaha yang diperlukan secara
bersungguh-sungguh dan penuh dengan perancangan dan strategi untuk menjadi
sebab bagi Allah memberikan pertolongan dan kejayaan. Apakah ada orang yang
tidak menanam tetapi mendapat hasilnya?
3. Firman
Allah: “Sesungguhnya Allah akan menolong siapa yang membelaNya.”Al
Hajj ayat 40 Allah menghendaki hambanya melakukan pengorbanan harta,
tenaga, fikiran bahkan nyawa untuk menegakkan Islam. Keengganan umat Islam
hari ini untuk berkorban telah menyebabkan mereka tidak mendapat pertolongan
Allah. Mereka lebih sayangkan harta mereka untuk digenggam erat, masa mereka
untuk mereka berehat, tidur dan bersenang-senang, berbual-bual, tidak mahu
membantu pada tugas dijalan Allah dan sebagainya. Keadaan ini sama seperti
firman Allah: “Bahawasanya yang ada jalan untuk dicela itu ialah
orang-orang yang meminta diri menunjuk keberatan kepadamu, pada hal mereka itu
mampu. Mereka senang duduk bersama orang yang tinggal di belakang (tidak
berjihad) dan Allah telah mengunci hati mereka, maka mereka tidak mengetahui
akibat perbuatan mereka.” At Taubah ayat 93
Kesimpulannya
ternyatalah bahawa Allah akan hanya membantu umat Islam jika seandainya mereka
teguh beriman, gigih berusaha dan sanggup pula berkorban harta, masa dan tenaga
dalam kerja di jalan Allah. Perhatikan firman Allah:"Sesungguhnya telah
kami tuliskan dalam kitab Zabur, sesudah peringatan, bahawa bumi ini akan
diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh" Al Anbiya' ayat 105. Jelaslah
bahawa kejayaan umat Islam di sisi Allah itu mestilah melalui tiga hal iaitu teguh
beriman, gigih berusaha dan sanggup berkorban; hingga mereka menjadi hamba
yang soleh. Setelah itu, InsyaAllah kita akan mendapat kejayaan atas anugerah
Allah Yang Maha Besar.
Renungkanlah
saudaraku. Apakah kita telah mempunyai sifat yang disebutkan dalam meniti hidup
hari ini? Atau kita hanya melengkapkan diri dengan sijil dan kekuatan tenaga
serta pangkat untuk kita katakan sebagai kejayaan dan kebahagiaan. Kita adalah
dari Allah, Allah yang menetapkan peraturan bagi kita, Allah juga yang
menetapkan kejayaan dan kebahagiaan. Kalau kebahagiaan dan kejayaan yang kita
katakan telah kita capai, sedangkan ia tidak selari dengan ciri yang ditetapkan
oleh Allah, maka kejayaan kita itu hanyalah satu khayalan dan mimpi indah
semata-mata!