JANGAN MENYIKSA DIRI
Allah S.W.T menciptakan dunia
seisinya untuk kemudahan manusia itu sendiri, oleh itu hendaklah manusia
memanfaatkannya.
Sahabat Anas menceritakan bahawa satu
hari Rasulullah S.A.W melihat seorang yang dipapah oleh kedua orang anaknya
menunaikan haji dengan berjalan kaki. Apabila melihat keadan itu maka baginda
bertanya, "Mengapa dengan orang ini?"
Dua anak itu berkata, "Dia
bernazar hendak pergi menunaikan haji dengan berjalan kaki." Rasulullah
berkata, "Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memerlukan orang yang
menyiksakan dirinya."
Ketika itu juga Rasulullah
memerintahkan kepada orang itu agar naik kenderaan untuk menunaikan haji.
Dalam satu peristiwa lain, seseorang
menziarahi tuan gurunya yang sudah lama berpisah, dia berjalan kaki beberapa
batu ke rumah gurunya dengan maksud untuk mendapat pahala yang lebih. Setiba
di rumah gurunya itu, tuan guru itu bertanya, "Kamu datang dengan
apa?" Anak murid itu berkata, "Saya berjalan kaki."
Apabila tuan guru itu mendengar jawapan anak muridnya
itu dia berkata : "Dia telah menciptakan kuda, baghal dan keldai agar
kamu mengenderainya."