ZIKRULLAH
Muaz bin Jabal
r.a memberitakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawa
penghuni-penghuni syurga setelah tibanya di syurga tidak akan menyesal dan tidak
akan berdukacita mengenai suatu apapun kecuali masa yang telah berlalu dalam
dunia tanpa zikrullah."
Apabila
penghuni-penghuni syurga menyaksikan pahala ganjaran yang bertimbun-timbun
laksana gunung bagi sebutan nama Tuhan yg Maha Suci yang ia sebutkan didalam
dunia hanya sekali sahaja.Maka dia akan menyesal seraya berkata, " Alangkah
ruginya aku kerana masaku yang banyak terbuang di dunia tanpa zikir."
Hafiz-ibnu-Hajar rah.a menulis
dalam kitabnya 'Al-Munabbihat' bahawa Yahya bin Muaz rah.a (seorang ahlullah
yang terkemuka di mana-mana di dunia ini) sering berkata di dalam munajatnya:
" Ya ALLAH, hamba tidak merasa gembira di malam hari kecuali dengan
bermunajat dan berbisik-bisik kepada Engkau. Dan hamba tidak berasa gembira di
siang hari kecuali dengan beribadat kepada Engkau. Dan hamba tidak merasa
gembira di dunia ini kecuali dengan menyebut nama Engkau yang Maha Agung. Dan
hamba tidak akan berasa puas di alam akhirat kecuali dengan pengampunan Engkau
(terhadap dosa-dosaku). Dan hamba tidak akan berdukacita di syurga kecuali
dengan menyaksikan wajah Engkau (Yang Maha Indah).”